Sunday, January 28, 2018

Terengganu FC hilang khidmat Hyun Woo enam bulan

Terengganu FC hilang khidmat Hyun Woo enam bulan


IMPIAN Terengganu FC I (TFC I) untuk menggunakan khidmat penyerang import Korea Selatan, Kim Hyun Woo dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) yang bakal memulakan tirai perlawanan pada 3 Februari depan berkecai apabila pemain itu disahkan tidak sempat pulih.
Jurulatih TFC I, Irfan Bakti Abu Salim mengesahkan Hyun Woo terpaksa berehat sehingga enam bulan sekali gus memaksa Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengetepikan pemain berusia 29 tahun berkenaan.
Perkhabaran duka terbaru itu sudah pasti merencatkan perancangan skuad Penyu kerana bekas pemain Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) terbabit adalah antara tonggak utama pasukan.
“Saya kehilangan Kim (Hyun Woo) kerana dia mengalami kecederaan serius dan harus berehat sehingga enam bulan. Kita akan bertemu dengan dia (Hyun Woo) dan ejennya serta pihak pengurusan untuk perbincangan lebih lanjut.
“Pemain tinggi lampai itu cedera di lutut ketika aksi persahabatan kedua pramusim bertemu pasukan Army FC di Kemboja, dua minggu lalu yang berkesudahan kita tewas 3-6.
“Dengan kehilangan pemain itu, kita akan mengikat pemain import lain, namun cadangan siapa pemain baru setakat ini masih belum ada memandangkan Hyun Woo baru disahkan tidak dapat beraksi. Apa yang pasti, pemain baru nanti adalah dari Asia dan seorang penyerang,” kata Irfan ketika ditemui selepas final kejohanan bola sepak empat penjuru Piala Menteri Besar Terengganu semalam.
Dalam kejohanan edisi sulung yang turut disertai Pahang dan Melaka United itu, TFC I muncul juara selepas menundukkan TFC II sekali gus menggondol hadiah wang tunai RM50,000.
Sebelum ini, Hyun Woo dilaporkan hanya perlu berehat selama seminggu saja namun selepas rawatan lanjut, pemain yang memiliki ketinggian 1.85 meter itu disahkan gagal pulih dalam tempoh terdekat.

0 comments:

Post a Comment