Berbaki hanya satu peringkat dari Rembau ke Kuala Lumpur esok, TSG menerusi pelumba importnya Artem Ovechkin dari Rusia masih unggul menyarung jersi kuning (pendahulu keseluruhan) dengan masa terkumpul 28 jam 56 minit 20 saat.
Setakat ini Ovechkin berkelebihan 28s di depan tempat kedua, yang dihuni wakil CCC Sprandi Polkowice, Lukasz Owsian.
Dalam keghairahan demi merealisasikan impian tersebut, Ovechkin bagaimanapun mahu berhati-hati pada perlumbaan sejauh 141.1 kilometer itu esok meskipun di atas kertas, dia berupaya melakar sejarah buat Malaysia.
“Saya yakin saya mampu memenangi gelaran di LTdL. Saya ingin berikan yang terbaik demi mengharumkan nama TSG. Jika dilihat, berkelebihan 28 saat itu adalah kedudukan yang baik namun apa-apa boleh terjadi dalam perlumbaan.
“Esok ada tiga zon pecutan dan zon pendakian termasuk tiga pusingan di Kuala Lumpur, yang mana jika dilihat ia juga mencabar. Sudah pasti pasukan lain juga akan memberikan segalanya dan tidak mahu melepaskan peluang terakhir ini.
“Saya yakin TSG ada rancangan dan strategi sendiri untuk menjaga saya dengan baik esok,” katanya sejurus menamatkan perlumbaan peringkat ketujuh di sini hari ini.
Seperti ditulis dalam prebiu sebelum ini, LTdL terus menyajikan kejutan dengan terbaharu, Manuel Belletti dari Androni Giocattoli-Sidermec (ANS) pula menjuarai perlumbaan kedua terakhir dari Nilai ke Muar itu.
Pelumba kelahiran Itali itu mencatat masa terpantas 5:8.23s, diikuti Zhupa Eugert dari Willier Triestina-Selle Italia kedua dan Ruslan Tleubayev (Astana Pro Team), yang kedua-duanya berkongsi tempoh sama dengan Belletti. -utusan