Wednesday, February 7, 2018

Terengganu FC seri lagi, kongsi mata dengan Kelantan

Terengganu FC seri lagi, kongsi mata dengan Kelantan


Pasukan Terengganu Football Club (TFC) memungut satu mata selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Kelantan dalam perlawanan kedua Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam tadi.
Skuad Peteh yang juga merekod keputusan seri dalam aksi pertama melawan PKNS FC kini mengutip dua mata dan berada di tangga kelima liga.
Perlawanan dua musuh ketat pantai timur jelas mencuri tumpuan penonton dan pasukan Terengganu bermula garang apabila mendapat jaringan seawal minit pertama melalui kapten Tchetche Kipre yang merembat masuk hantaran lintang Ashari Samsudin untuk memperdaya penjaga gol tuan rumah Khairul Fahmi Che Mat.
Kelantan yang terkejut dengan gol berkenaan bingkas melancarkan asakan menerusi penyerang import Korea Do Dong-Hyun namun gagal memecah kebuntuan.
Tuan rumah akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-38 selepas mendapat sepakan penalti yang disempurnakan oleh Dong Hyun akibat bek pelawat Fitri Omar sengaja menjatuhkan Nik Shahrul Azim.
Babak kedua bersambung memperlihatkan permainan Terengganu lebih kemas dengan kemasukan Messi Faiz Nasir yang bijak mengucar-kacirkan pertahanan Kelantan.
TFC hampir menambah gol namun percubaannya ditepis Khairul Fahmi pada minit ke-73 perlawanan dan keputusan kekal hingga tamat permainan.
Selepas ini TFC akan menerima kunjungan Selangor di laman sendiri pada 10 Februari ini. –  sumber Terengganu.news

0 comments:

Post a Comment